SAYA TERTEKAN !!!
Tekanan emosi merupakan sesuatu yang memang tidak asing lagi bagi orang yang kerap menghadapi masalah. pekerja pejabat yang perlu menyiapkan tugas -tugasnya dalam tempoh masa yang ditetapkan mungkin akan menghadapi tekanan emosi jika dia gagal berbuat demikian. Pertelingkahan suami isteri boleh mendatangkan tekanan emosi kepada kedua -dua pihak dan akan mengganggu tugas -tugas harian mereka. Kanak -kanak yang tidak menunjukkan kemajuan di sekolah akan merunsingkan fikiran ibu bapanya dan sering menyebabkan berlakunya stress dikalangan ibu bapa tersebut. Berbagai -bagai lagi keadaan boleh menimbulkan tekanan emosi kepada seseorang individu.
Adakah kanak -kanak juga mengalami tekanan emosi ?
Tekanan emosi boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
- Dalam satu kes , seorang pelajar yang menduduki peperiksaan sijil rendah pelajaran mengeluh sering sakit kepala , sakit perut dan tidak dapat tidur nyenyak. Ini semua berpunca daripada perasaan resah dan kurang yakin yang dia akan dapat melepasi halangan akademik itu dengan jayanya.
- Dalam satu kes lain pula , seorang kanak -kanak berusia enam tahun dibawa ke klinik kerana sering kencing malam sejak sebulan yang lalu . Apabila diperiksa , kesihatannya didapati memuaskan tetapi apabila diselidik keadaan psikososial keluarganya , diberitahu bahawa si ayah telah pergi berkursus ke luar negeri selama enam bulan. Kanak -kanak ini amat rapat dengan ayahnya. Ketiadaan ayahnya menyebabkan dia tidak mendapat perhatian yang diharapkan. Tekanan emosi akhirnya menyebabkan dia sering kencing malam dan mencuri barang -barang kawan -kawannya di tadika.
- Satu lagi contoh tekanan emosi ialah kanak -kanak yang sering kencing malam dan tidak selera makan akibat suasana di rumah yang kurang stabil. ibu bapanya sering bertelagah dan sedang berura -ura untuk berpisah.
- Kanak -kanak yang berusia tiga tahun yang tidak pernah berenggang dengan ibunya juga akan dilanda tekanan emosi jika ditinggalkan dibawah jagaan pengasuh tadika. Dia akan menangis dan menunjukkan perubahan tingkah laku yang ketara. Jika kanak -kanak ini dimasukkan ke hospital , ibu atau bapanya dinasihatkan agar sentiasa berada di sisinya kerana keadaan persekitaran yang asing dan berbeza akan memberi kesan kepada status emosi anak itu. Kehadiran ibu bapa sedikit sebanyak akan mengurangkan tekanan emosi dan perasaan takut kanak -kanak tersebut.
Bayi juga boleh mengalami tekanan emosi. Rasa kurang selesanya terhadap sesuatu keadaan dipamerkan melalui tangisan yang lebih kerap , keengganan untuk menyusu dan tidak subur.
- Dalam suatu kes , seseorang bayi berusia enam bulan yang tidak subur telah diperiksa di klinik dan didapati bahawa dia kurang menyusu. Bayi tersebut tidak mendapat layanan mesra daripada ibunya yang mengalami depression. Dia dijaga sama ada oleh ibu saudaranya , pembantu rumah atau kadangkala jirannya. Nyatalah bahawa anak ini sering meragam kerana tidk dapat menikmati belaian ibu kandungnya. Si ibu kemudian diberikan rawatan kaunseling . Dia telah dapat mengubah caragaya keibuannya dan ekoran daripada itu , hubungan ibu dan anak menjadi lebih mesra. Si anak lebih nyenyak tidurnya dan menyusu dengan lebih baik. Timbang beratnya ternyata meningkat dengan lebih memuaskan selepas beberapa bulan kemudian.
Dari contoh -contoh yang diberikan ini , kita dapat melihat bahawa tekanan emosi boleh berlaku kepada kanak -kanak di pelbagai peringkat usia . Tanda -tanda yang ditunjukkan oleh kanak -kanak berbeza -beza mengikut usia masing -masing. Seorang kanak -kanak yang mengalami tekanan emosi mungkin kurang selera makan , loya tekak dan muntah -muntah , sakit perut , sakit kepala , pucat dan tidak aktif. Ada juga yang menjadi tidak bermaya , lelah , sukar tidur malam , kencing malam , menggigit -gigit kuku , menarik -narik rambut dan sebagainya.
Kanak -kanak yang mengalami tekanan emosi mungkin kelihatan lebih kurus akibat hilang selera makan. Doktor yang merawat kanak -kanak yang mempamerkan tanda -tanda seperti yang disebutkan di atas perlu melakukan pemeriksaan yang teliti supaya sebarang penyakit , jika wujud dapat dirawat segera. jika doktor yakin tidak ada unsur penyakit berbahaya yang terlibat , keadaan psikososial si anak pula perlu dinilai dengan terperinci. Kemungkinan besar , dia menghadapi tekanan emosi.
Ambil contoh kanak -kanak yang telah mencapai usia enam tahun tetapi masih tidak boleh bercakap dengan fasih dan mempamerkan prestasi intelek yang kurang memuaskan.Ini mungkin kerana dia berasa kurang selesa di tadika atau disekolahnya. Dalam usaha untuk mendapatkan perhatian , kanak -kanak ini mungkin menjadi hiperaktif , sering mengacau kanak -kanak lain dan merayau -rayau sesuka hatinya.
Adakalanya , kanak -kanak diasuh dan dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tidak dibekalkan dengan bahan -bahan bacaan dan peralatan menulis yang cukup. Ada sesetengahnya pula tidak dibiasakan untuk berkomunikasi dan berhubung dengan orang lain secara terbuka. Akibatnya , mereka berasa kurang yakin dengan diri sendiri. Akibat kurangnya pergaulan , kemahiran sosial mereka terbantut.
Apabila mereka dimasukkan ke tadika atau sekolah , mereka mengalami ketegangan jiwa. Mereka berasa kurang yakin pada diri sendiri serta tidak banyak bercakap. Malahan , perasaan takut mungkin bersarang dalam jiwa mereka, terutama apabila berhadapan dengan guru.
Ibu bapa yang rapat serta peka terhadap keperluan anak -anak pasti dapat merasai perubahan pada anak yang mengalami tekanan emosi , terutamanya dari segi tingkah laku dan cara percakapan. Kanak -kanak yang mengalami tekanan emosi lebih suka berseorangan , termenung , merayau -rayau dan berkelakuan tidak menentu. Mereka sering kelihatan tidak bermaya , kurang menunjukkan minat dan tidak mempamerkan wajah gembira dan mesra seperti biasa. Mereka mungkin menjadi lebih pemarah ,lebih resah , kurang sabar , tidak suka ditegur dan menunjukkan berbagai -bagai corak tingkah lakuyang tidak menyenangkan.
Kanak -kanak yang akan menduduki peperiksaan , sedang menunggu keputusan peperiksaan atau yang mengalami krisis pergaulan dengan rakan sebaya berkemungkinan akan mengalami tekanan emosi. Anak -anak yang sedang melalui zaman remaja sering mengalami konflik perasaan dan mudah berasa tersinggung.
Bagaimanakah cara untuk mengurangkan tekanan emosi ?
Setiap individu memang mempunyai kebolehan untuk mengatasi kelemahan -kelemahannya. Begitu juga dengan kanak -kanak yang sedang membesar yang mudah dibentuk pemikirannya melalui pendidikan dan contoh -contoh positif.
Tabiat -tabiat yang kurang sihat dan negatif boleh menjejaskan prestasi seseorang kanak -kanak. Contohnya , seorang kanak -kanak berusia 10 tahun sering mengeluh tidak boleh tidur malam dan berasa resah untuk menghadapi peperiksaan. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pengalaman -pengalaman yang dilaluinya sejak kecil tidak banyak mengajarnya membina keyakinan diri. Gurunya menyatakan bahawa dia seorang budak yang lembab sejak dia di dalam darjah satu lagi.Kecaman dan denda kerana prestasi akademik yang tidak memuaskan tidak akan mendatangkan apa -apa manfaat malahan akan lebih menyinggung perasaanya.
Dia memerlukan galakan , sokongan dan tunjuk ajar daripada guru -guru yang arif supaya dia dapat maju dalam pelajarannya. Kanak -kanak seperti ini sering mendapat tekanan emosi. Untuk meredakan keadaan emosi yang berkecamuk , dia mungkin menunjukkan tingkah laku seperti melawak , menjadi agresif , sentiasa resah atau tidak mengambil berat langsung dalam hal -hal sekolah.
Kesimpulan
Tekanan emosi boleh dialami oleh kanak -kanak tanpa mengira usia. Manifestasi yang ditunjukkan berbeza -beza mengikut tahap perkembangannya . Ibu bapa perlu memahami dan mengenali ciri -ciri tekanan emosi di kalangan anak -anak tersebut.
No comments:
Post a Comment