SELAMAT DATANG KE BLOG CHEKGU CHOMEL

Sunday, 26 August 2012

ISU SEMASA 

Minda: Kawal gejala murung di peringkat awal 
Oleh Dr Aminudin Mansor 

GEJALA penyakit mental sukar dikesan pada peringkat awal. Beberapa faktor yang menyumbang kepada penyakit ini antaranya tekanan perasaan yang tidak dapat dikawal, faktor keturunan dan persekitaran menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal perasaan serta emosinya terutama ketika marah. Apatah lagi jika ia membabitkan pelajar di peringkat sekolah khususnya sekolah menengah. Guru perlu dapat mengesan gejala kemurungan dan tekanan di kalangan pelajar dalam kelas dan di sekolah sebagai langkah awal mengatasinya. 

Fenomena gejala kemurungan ini akhirnya membawa kepada tekanan perasaan dan emosi yang menyebabkan pelbagai kejadian tidak diingini seperti kes cucu menikam datuk hingga mati, wanita serang ibu suami, tikam kekasih abang ipar serta marah isteri belasah mentua. Kes seperti ini disebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal perasaan ketika marah. Oleh sebab itu, melalui pendidikan di sekolah, setiap pelajar dididik supaya dapat menyeimbangkan jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam menjalani kehidupan seharian. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kementeriannya mendapati secara keseluruhan, 400,227 pesakit mental mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental di hospital kerajaan tahun lalu ia menunjukkan peningkatan 15.6 peratus berbanding 2009 iaitu 337,791 kes. Menurut beliau, gejala kesihatan mental dalam kalangan remaja juga menunjukkan pola meningkat dan perlu ditangani dengan sebaik mungkin dari semasa ke semasa. 

Bagi mengatasinya, empat sekolah dipilih sebagai sekolah perintis bagi melaksanakan satu modul khas mengesan gejala penyakit mental dalam kalangan remaja pada peringkat awal. Modul itu berbentuk Modul Kemahiran Kesihatan Mental Di Kalangan Remaja di sekolah itu akan dijalankan dalam tempoh enam bulan dan hasilnya akan dibincangkan dengan Kementerian Pelajaran. Menurutnya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mengenal pasti gejala penyakit mental di kalangan remaja pada peringkat awal yang dijalankan selama enam bulan bagi mendapatkan hasil sebelum dibincangkan dengan Kementerian Pelajaran untuk diperluaskan di sekolah menengah di seluruh negara. 

Pada peringkat awal, empat sekolah terbabit dalam projek itu ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Teluk Intan, Perak; SM Datuk Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang; SM Simpang Bekok Melaka dan SM St Michael, Penampang, Sabah. Beliau berkata, usaha yang dilakukan bukan bermakna kementerian menyasarkan pelajar sebagai kumpulan berisiko, tetapi lebih kepada memberi kemahiran kepada guru dan kaunselor mengesan gejala kemurungan serta tekanan di kalangan pelajar di peringkat awal. Justeru, gejala kemurungan dan tekanan pelajar mestilah dapat diurus dengan baik dan seimbang. Mengawal emosi dan perasaan sangat penting dalam menahan kemarahan yang boleh menyebabkan pelbagai perkara buruk berlaku seperti mengamuk, perasaan tidak terkawal serta marah berlebihan. Melalui pendidikan, akan dapat membangunkan diri manusia sama ada personalitinya, emosi, perasaan, pemikiran dan intelek ke arah yang seimbang. Nilai murni dan nilai moral perlulah sentiasa diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. 

Kajian ahli psikologi mendapati pengaruh pembentukan personaliti meliputi tiga faktor iaitu pewarisan, pengalaman (pembelajaran) dan budaya. Faktor ini mempengaruhi ke arah gejala kemurungan dan tekanan yang akhirnya menyebabkan sakit mental. Faktor sosial dan persekitaran dengan jelas menyumbang kepada tingkah laku. Pengawalan emosi sangat penting terutama di saat kemarahan dan menerima tekanan. Hubungan antara ibu bapa dan anak dengan perasaan kasih sayang serta kemesraan dapat membentuk personaliti yang seimbang. Islam menegaskan, akhlak yang mulia dapat mendidik dan mengawal tingkah laku meliputi emosi dan perasaan, iaitu seseorang itu sentiasa bersopan santun, sabar, mengingati Allah, sentiasa beradab, merendah diri, pemaaf, tidak mudah marah, syukur, takwa serta tawakal menghadapi ujian dan dugaan. Sifat sabar dan pemaaf dapat mengatasi gejolak emosi kemarahan tanpa kawalan. Sabar adalah satu-satunya sifat akhlak yang paling indah sekali. 

Sebagai umat Islam, kita disuruh bersabar menahan kemarahan ketika ditimpa kesusahan atau cubaan. Sementara sifat pemaaf dapat memadamkan kemarahan dalam hati dan jiwa yang disulami dengan adab sopan yang baik. Usaha semua pihak dalam menangani masalah ini dapat mengurangkan gejala kemurungan dan tekanan perasaan dalam kalangan remaja. Pendidikan adab dan akhlak yang baik di rumah serta di sekolah dapat membentuk tingkah laku yang seimbang di kalangan remaja yang dapat membentuk personaliti seimbang dan unggul pada masa depan. 

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu. 



Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012

2 comments:

  1. a10 games

    Why other writers can't seem to put their thoughts into clear words the way you do is beyond me.



    y8

    juegos friv

    friv yepi

    ReplyDelete
  2. I truly appreciate your valuable information.

    gazo

    yepi

    friv 2

    ReplyDelete